MEMAHAMI PERSOALAN SIHIR
Menurut ulama, sihir adalah perkara yang dihasilkan dengan cara
mendampingi syaitan yang tidak mampu dilakukan manusia. Ibnu Khaldun dalam
kitab mukadimahnya mentakrifkan sihir sebagai ilmu mengenai cara melakukan
persediaan yang membolehkan jiwa manusia memberi kesan terhadap anasir alam
tanpa pedoman atau dengan pedoman sumber langit. Tanpa pedoman itu ialah ilmu
sihir dan yang keduanya ilmu mengenai tilsim atau rajah.
Sihir adalah perbuatan yang mengelirukan pancaindera. Menyihirkan
bererti membohongi dan membunuh kewarasan. Apabila berasa dua matanya
disihirkan, itu tandanya orang berkenaan dikhayalkan dengan perkara yang salah.
Perkataan sihir bermaksud menyadur sesuatu dengan helah dan khyalan, iaitu
seseorang ahli sihir melakukan beberapa perkara dan pengertian hingga orang
yang disihir merasai apa yang dihadapannya berbeza.
- Menurut golongan Muktazilah, sihir hanya satu pembohongan
tidak berasas.
- Imam as-Syafie pula mengatakan sihir ialah was-was (keraguan)
dan satu penyakit. Katanya punca sebenar sihir ialah tilsim yang digunakan
untuk menimbulkan kesan cirri bintang.
- Menurut Imam al-Qurtubi, sihir ada kebenarannya dan reality
kerana Allah menjadikan apa saja perkara atau kejadian yang
dikehendaki-Nya.
Sewaktu Rasulullah SAW disembuhkan daripada
sihir yang menimpanya, baginda bersabda,”Sesungguhnya Allah telah menyembuhkan
aku. Penyembuhan hanya berlaku dengancara menarik semula kesakitan dan
menghilangkan penyakit”.
Ertinya, sihir adalah benar dan satu kenyataan. Ini keyakinan yang
jelas menerusi pemberitahuan Allah dan Rasul-Nya mengenai kewujudan serta
kejadian sihir. Pandangan ini dipegang oleh Ahlu al-Halli Wal ‘Aqdi yang
menjadi rujukan berlakunya Ijma’ dikalangan umat. Jadi ia tidak diambil kira
jika ada perbezaan pendapat oleh Muktazilah dan orang yang tidak sehaluan
dengan mereka.
Menurut Farid Wajdi, orang yang berakal tidak meragui kewujudan
sihir dalam aspek keberkesanannya. Al-Quran sendiri menyebut perkara ini
(al-Baqarah: 102). Hanya syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir) mereka
mengajar sihir kepada manusia.
Golongan Muktazilah dan sebahagian ahli sunnah menolak kewujudan
sihir. Kata mereka, ia hanya sebentuk pembohongan, pengkaburan dan penyakit.
Mereka menggangapnya sebagai ilmu silap mata saja. Antara dalil mereka ialah
firman Allah (al-A’Araf : 116), Maka tatkala mereka melemparkan, mereka
menyulap mata orang dan menjadikan orang ramai itu takut. Tegas mereka,
mukjizat dan sihir akan bercampur aduk jika mengatakan sihir satu realiti.
Abbu Haiyyan dan al-Razi membahagikan sihir kepada lima,
iaitu;
1. Berbentuk mengubah benda dan menciptanya menjadi seperti
mukjizat dan karamah pada zahirnya seperti boleh terbang, melalui perjalanan
jauh pada satu malam saja dan mengubah sesuatu menjadi emas atau sebaliknya.
Bentuk sihir ini pada hakikatnya boleh berlaku menerusi penggunaan jin.
2. Berbentuk penipuan, pengkaburan dan silap mata yang tiada
hakikat baginya. Ini pendapat golongan Muktazilah. Antara bentuk sihir ini
termasuk pengkhayalan dan silap mata yang biasa dilakukan oleh pemain silap
mata.
3. Berbentuk menggunakan perkhimatan jin dan memohon bantuan
mereka untuk menggerakkan sesuatu atau memindahkannya. Jin terbahagi kepada dua
jenis iaitu jin mukmin dan jin kafir (syaitan). Orang yang meminta bantuan
syaitan dan menggunakan khidmatnya adalah ahli sihir (orang kafir). Jin mukmin
menolak memberi bantuan kecuali untuk tujuan yang baik sahaja. Orang yang mahu
bantuan jin selain tujuan itu tidak akan dilayan, sebaliknya mungkin mereka
akan disakiti pula. Biasanya orang yang menggunakan syaitan memang menyembah
syaitan dan bukan Allah ataupun mereka telah kufur sejak mula lagi. Inilah yang
disyaratkan oleh syaitan kepada mereka sebelum memberi bantuan dan mentaati
mereka.
4. Berbentuk susunan benda yang dikumpulkan. Diatas benda tersebut
dibakar beberapa jisim, azimat dan nama bintang. Kemudian ia dijadikan
peralatan sihir. Peralatan ini disusun merangkumi ungkapan yang bercampur aduk
diantara ucapan kufur dan rajah.
5. Dengan cara ahli sihir mendakwa dia mengetahui sebuah nama yang
teragung dan jin mengikut perintahnya dalam banyak perkara. Dengan cara itu dia
dapat menguasai akal manusia dan melakukan kepada mereka sekehendak hatinya.
Dia juga dapat mempengaruhi jiwa yang lemah menerusi sangkaan dan khyalan.
Al-Syaukani dalam tafsirnya menyebut sihir boleh memberi kesan
pada hati, iaitu menimbulkan rasa cinta dan benci, mengumpul dan memisahkan
serta mendekat dan menjauhkan. Allah berfirman (al-Baqarah : 102). ‘Dan
mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorang
pun kecuali dengan izin Allah.’
Telah terbukti sihir boleh berkesan dengan sendirinya. Hakikatnya
diterima kecuali oleh golongan Muktazilah dan Abu Hanifah.
Sufian meriwayatkan daripada Ammar al-Zahabi bahawa seorang ahli
sihir pernah berada disisi al-Walid bin Uqbah lantas menunjukkan kebolehannya
berjalan diatas tali, masuk menerusi dubur keldai dan keluar menerusi mulut
binatang itu. Jundub lantas menghunus pedang dan membunuhnya. Lantaran itu
Jundub digelar sebagai pembunuh ahli sihir.
Rasulullah SAW pernah menyebut mengenainya menerusi sabda: ‘Akan
ada dikalangan umatku seorang lelaki yang dipanggil Jundub menghunus pedang dan
menetak untuk membezakan diantara kebenaran dan kebatilan.
Al-Bukhari menyebut berita yang diperoleh daripada Abu Uthman
an-Nahdi yang mengatakan : ‘ Adalah disisi al-Walid seorang lelaki yang bermain
(melakukan sihir) dengan cara menyembelih seorang manusia dan mempamerkan
kepalanya. Kami kagum, tiba-tiba datang Jundub al-Azdi terus membunuhnya.
Menurut Ibnu Khudamah, sihir ialah simpulan, jampi dan ungkapan
yang diucap atau ditulis ataupun diamalkan. Ia memberi kesan pada tubuh orang
yang disihir atau hati ataupun akalnya.
Sihir adalah realiti. Menurut Imam as-Syafie ia boleh membunuh,
menyebabkan penyakit, menghalang suami menyetubuhi isterinya, memisahkan suami
dan isteri serta menimbulkan rasa benci dan rasa kasih saying salah seorang
daripada mereka.
Menurut al-‘Allamah al-Qurtubi,tiada siapa menolak perkara luar
biasa menerusi ahli sihir yang diluar kemampuan manusia seperti sakit,
pemisahan, menghilangkan akal dan membengkokkan anggota tubuh yang mustahil
dapat dilakukan dengan keupayaan biasa. Kata mereka semua perlakuan luar biasa
dilakukan sihir bukan perkara aneh. Namun yang menjadikan semua itu bukan
sihir. Sihir bukan sebab berlakunya sebagaimana tukang sihir tidak berperanan
dengan sendirinya.
Allah yang menjadikan semua perkara tersebut, mentakdirkan dan
mewujudkannya ketika sihir itu wujud. Hal ini sama seperti Allah mentakdirkan
dan menjadikan kenyang ketika menelan makanan dan hilang dahaga sewaktu meneguk
air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan