
Walau bagaimanapun ia seolah-olah sudah menjadi fakta yang diterima ramai sehingga para penerbit filem seram berani menggunakan kenyataan di atas sebagai dialog yang digunakan dalam filem mereka.
Asas pertama yang perlu dipegang apabila membicarakan perihal jin dan malaikat ialah keimanan kepada perkara ghaib. Oleh kerana alam jin adalah alam ghaib yang terhalang daripada alam nyata (al-A’raf [7.27]), manusia tidak boleh berbicara tentang jin kecuali mengikut neraca al-Quran dan al-Sunnah. Hanya kedua sumber Islam itu sahaja yang mampu menelah dan menembusi alam Jin. Sesiapa sahaja yang ingin mengutarakan buah fikiran mengenai alam Jin perlu terlebih dahulu merujuk kepada kedua sumber Islam supaya umat Islam tidak berpegang kepada asas yang rapuh, tidak berasas atau disuap dengan fakta karut dan khurafat yang tidak banyak membina iman atau minda.
Kenyataan yang terlalu umum “ sebaik-baik Jin sejahat-jahat manusia “ secara tidak langsung akan menzalimi sebahagian Jin Islam yang dipuji Allah dan disebut kisah mereka dalam al-Quran. Mereka ini jugalah generasi awal Jin Islam yang bertanggungjawab menyebarkan Islam kepada bangsa Jin kerana Jin dan manusia mempunyai tanggungjawab agama dan akan dihisab di akhirat kelak (al-Rahman [55:31-36]).
Generasi awal Jin Islam yang disebut kisah mereka dalam al-Quran ini juga selayaknya digelar sahabat nabi kerana memenuhi ciri serta takrifan para ulama’ hadith iaitu sesiapa sahaja yanag bertemu dan beriman kepada nabi Muhammad SAW. Sekiranya kenyataan tersebut berterusan dipegang, kita secara tidak langsung akan menghukum para sahabat nabi jauh lebih jahat daripada manusia sedangkan para ulama sepakat mengatakan para sahabat adalah adil dan baik.