
SETIAP kali menjelang Ramadan umat Islam seluruhnya akan menunaikan ibadat puasa kerana mematuhi perintah Allah Taala. Puasa pada zahirnya memperlihatkan suatu ibadat yang ritual dilakukan saban tahun. Setiap ibadat dalam Islam mempunyai matlamat yang amat murni untuk dicapai oleh orang Islam;
- pertamanya, untuk menuju keredaan Allah dengan mematuhi perintahnya; dan
- kedua, untuk mendapat “hasanah” atau kebaikan di dunia dengan berbagai-bagai anugerah Allah Taala.
Cuma, sebelum Nabi Muhammad SAW puasa diwajibkan, tetapi tidak sabit dilakukan dalam bulan Ramadan, tetapi setelah ia diwajibkan kepada umat Islam, puasa dilakukan sepenuhnya dalam bulan Ramadan sehingga Hari Kiamat.
Bagi golongan tertentu, mereka melihat Ramadan sebagai suatu ibadat untuk menahan diri daripada makan dan minum yang memberi erti mendatar. Kepada sesetengah manusia hanya untuk berlapar dan dahaga, berpenat dan letih yang mungkin boleh membawa kelemahan fizikal yang menghalang kewajiban harian dilaksanakan.