MAKLUMAN

INFAK/ WAKAF BANGUNAN DARUSSYIFA' JASIN

Infakkan sebahagian daripada harta anda untuk diwakafkan kepada pembelian bangunan Darussyifa' Jasin sebanyak 3000 kaki persegi dengan harga RM50.00 sekaki persegi.

Hubungi bendahari Ustaz Azrul di talian 0104252580 atau akaun
Bank Islam 04-033-02-027914-3

10 Julai 2013

Puasa: Pemangkin Jihad & Perisai Ummah -Dr Harun Din.

Image
SETIAP kali menjelang Ramadan umat Islam seluruhnya akan menunaikan ibadat puasa kerana mematuhi perintah Allah Taala. Puasa pada zahirnya memperlihatkan suatu ibadat yang ritual dilakukan saban tahun. Setiap ibadat dalam Islam mempunyai matlamat yang amat murni untuk dicapai oleh orang Islam;
  • pertamanya, untuk menuju keredaan Allah dengan mematuhi perintahnya; dan  
  • kedua, untuk mendapat “hasanah” atau kebaikan di dunia dengan berbagai-bagai anugerah Allah Taala.
Dari segi sejarah, puasa Ramadan diwajibkan oleh Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW dalam bulan Sya’aban, tahun kedua Hijrah. Meskipun ibadat puasa bukanlah suatu ibadat baru yang dikenali pada zaman Muhammad SAW, malah ia disebut di dalam al-Quran bahawa kewajipan itu telah diwajibkan kepada umat sebelum kita.

Cuma, sebelum Nabi Muhammad SAW puasa diwajibkan, tetapi tidak sabit dilakukan dalam bulan Ramadan, tetapi setelah ia diwajibkan kepada umat Islam, puasa dilakukan sepenuhnya dalam bulan Ramadan sehingga Hari Kiamat.

Bagi golongan tertentu, mereka melihat Ramadan sebagai suatu ibadat untuk menahan diri daripada makan dan minum yang memberi erti mendatar. Kepada sesetengah manusia hanya untuk berlapar dan dahaga, berpenat dan letih yang mungkin boleh membawa kelemahan fizikal yang menghalang kewajiban harian dilaksanakan.

Mentaliti sedemikian menyebabkan segelintir manusia mengaitkan puasa sebagai penyebab kegiatan ekonomi terjejas dan ummah boleh dipandang sebagai murung dan lembab. Pandangan sedemikian adalah disebabkan mereka melihat ibadat dalam Islam secara mendatar tanpa memperhatikan kepada hakikat sebenar puasa itu diwajibkan.

Puasa sebenarnya adalah penggerak kepada kekuatan ummah. Ia pemacu kepada daya jihad yang perlu diteruskan. Malah dipertingkatkan dari semasa ke semasa, lebih-lebih lagi pada zaman musuh-musuh telah mengambil kesempatan daripada kealpaan ummah melaksanakan agamanya dan kelesuan ummah dalam menghayati segala aspek tuntutan Allah.

Salah satu daripada aspek yang dilihat oleh Islam ialah aspek mengukuhkan daya juang dan daya jihad, pengukuhan ini bergantung rapat dengan kekuatan rohani manusia, semangatnya, jihadnya, kasih sayangnya kepada agama yang dianuti bagi mencapai tujuan sebenar beragama.

Allah yang menciptakan manusia amat mengetahui kekuatan dan kelemahan manusia. Iaitu ia berpusat daripada kekuatan dalaman manusia, semangat, roh perjuangan dan ketahanannya menghadapi ujian dalam kehidupan.

Oleh hal yang demikian Allah telah mewajibkan puasa Ramadan sebagai suatu puasa wajib diikuti dengan puasa-puasa sunat lain seperti puasa enam hari pada bulan Syawal, puasa Isnin-Khamis dan puasa sunat yang lain semuanya itu menuju kepada menggilap daya jihad melawan utamanya nafsu ganas yang memujuk manusia melakukan kerja-kerja maksiat.

Dalam waktu yang sama, nafsu itu mendendang manusia supaya hidup dalam keadaan berpoya-poya dan bersenang-senang sehingga mati daya jihad fizikal yang menghalang kewajipan harian dilaksanakan. Memang benar, tanpa puasa umat Islam akan terdedah seperti umat yang lesu dan hilang daya jihad.

Kukuhkan Daya Juang

Kelemahan umat Islam secara umumnya pada hari ini antaranya berpunca daripada kelemahan daya juang serta daya jihad untuk mempertingkatkan komitmen keagamaan untuk menjadikan Islam itu lebih tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Maka dengan itu Allah mewajibkan puasa, jika dilihat kepada sejarah, berlakunya beberapa jihad yang besar menentang musuh-musuh agama bagi mendaulatkan syariat Allah, banyak kali berlaku dalam bulan Ramadan.

Sebagai contoh, peperangan Badar yang kedua dikenali dengan Badar al-Kubra berlaku dalam tahun 2 Hijrah dalam bulan Ramadan, tahun 8 Hijrah berlaku peperangan pembukaan Makkah (Fathu al Makkah), 9 Hijrah peperangan Tabuk, 14 Hijrah peperangan al-Qadisiyyah dan peperangan pembukaan Jazirah Rhodes.

Dalam bulan Ramadan juga, iaitu dalam tahun 92 Hijrah berlaku peperangan pembukaan al-Andalus, Sepanyol oleh Tariq bin Ziyad dan Musa bin Nusair. Salahuddin al-Ayyubi telah berjaya mengalahkan tentera Salib dalam tahun 584 Hijrah, manakala tahun 658 Hijrah, Qutuz yang mempimpin umat Islam berjaya mengalahkan tentera Tartar di Ayn Jalut. Sementara Mesir di bawah berjaya mengalahkan Israel pada 10 Ramadan (1973 M).

Maka jelaslah, puasa Ramadan bukan memenatkan umat Islam atau melemahkan daya juang mereka, malah ia merupakan pemangkin kepada keutuhan yang sebenar, lain kepada runtunan hawa nafsu yang rata-rata menjerumuskan manusia kepada kebinasaan sedangkan Islam menyelamatkan manusia daripada kemurkaan Allah.

Bagi membina suatu tamadun yang benar diredai Allah puasa adalah sebagai pemangkin kepada kekuatan tersebut. Mungkin inilah yang disebutkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, 
  • "Puasa itu adalah perisai ummah."

Puasa Perisai Ummah

Puasa mampu menggerak kepada daya untuk mengekang runtunan jiwa yang membawa kepada kepalsuan dan kemunduran rohani. Kesejahteraan daripada malapetaka dunia menuju kepada kebaikan yang abadi, khasnya di dunia dan di akhirat. Maka itulah saban tahun puasa menemui insan-insan Muslim bagi mengajak mereka memasuki suatu kem latihan terbesar yang medan latihannya meliputi dari Timur ke Barat dan dari Utara ke Selatan.

Bukan sahaja kerana menahan diri dari lapar dan dahaga, tetapi lebih daripada itu mengajak manusia memperbaiki kualiti pembentukan keperibadian Muslim dan memperelokkan syahsiah mukmin.
  • Disebutkan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Nabi SAW bersabda (mafhumnya), “...Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata yang palsu dan beramal dengannya, maka Allah tidak berhajat kepadanya untuk berpuasa dengan meninggalkan makan dan minum.”
Lebih-lebih lagi puasa mengajak insan Muslim meninggalkan perbuatan maksiat, perbuatan yang menuju kepada penderhakaan kepada Allah, khasnya kejahatan mulut seperti bercakap bohong, dusta, mengumpat, mengeji, memfitnah dan sebagainya.
(http://www.tarbawi.my)

1 ulasan: