Soalan
Bolehkah tidak ditulis ayat-ayat al-Quran untuk digantungkan pada badan, untuk dijadikan penghadang dari gangguan makhluk halus atau dijadikannya sebagai ikhtiar menyembuhkan penyakit. Menurut kata seorang ustaz, ianya dibolehkankan, betul atau tidak?
Jawapan
Menggantungkan sesuatu di badan untuk dijadikan sebagai pengadang daripada gangguan makhluk halus atau untuk menyembuhkan penyakit, terbahagi kepada dua bahagian yang utama.
Pertamanya, menggunakan tangkal menangkal seperti menggunakan bahan seperti tulang binatang atau kayu yang dikatakan berhikmah, atau seumpamanya, ulama tidak khilfah bahawanya ia tidak harus.
Ianya adalah ditegah berdasarkan kepada hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah, al-Hakim dan al-Baihaqi yang mafhum hadis itu bermaksud, "Sesungguhnya jampi mentera yang menggunakan perkataan-perkataan syirik terhadap Allah, tangkal menangkal, ilmu pengasih adalah syirik."
Hadis ini jelas menunjukkan bahawasanya tangkal yang digunakan oleh masyarakat di zaman jahiliyah, ada yang menggunakannya selepas kedatangan Islam hingga hari ini adalah termasuk dalam istilah 'tamamaaim' atau tangkal. Ini jelas haram. Wajib dijauhi. Ianya dekat kepada kesyirikan kepada Allah S.W.T ataupun ianya syirik terus.
Keduanya, adapun mengunakan ayat-ayat al-Quranul Karim, dilipat dan digantung, dijadikan seolah-olahnya tangkal di badan dengan tujuan untuk dijadikan pengadang daripada syaitan atau untuk menyembuhkan penyakit,
Dalam hal ini, ulama-ulama terdahulu hingga ke hari ini berbeza pendapat. Satu golongan mengatakan ianya tidak harus, satu lagi golongan mengatakan ianya harus.
Yang berpendapat tidak harus adalah berpandukan kepada umum hadis yang disebutkan di atas tadi. Hadis itu jelas melarang daripada menggunakan tangkal tanpa mengira bahan tersebut digunakan daripada al-Quran atau bukan dari al-Quran.
Semuanya sama sahaja, ia boleh membawa kepada kesyirikan kepada Allah kerana ada penggantungan kepada makhluk, bukan kepada Allah S.W.T.
Golongan ini berhujah dengan kaedah fekah yang terkenal disebut dengan 'sadduzzarie'ah', iaitu mencegah daripada kerosakan, khususnya kerosakan aqidah.