MAKLUMAN

INFAK/ WAKAF BANGUNAN DARUSSYIFA' JASIN

Infakkan sebahagian daripada harta anda untuk diwakafkan kepada pembelian bangunan Darussyifa' Jasin sebanyak 3000 kaki persegi dengan harga RM50.00 sekaki persegi.

Hubungi bendahari Ustaz Azrul di talian 0104252580 atau akaun
Bank Islam 04-033-02-027914-3

15 Mac 2013


ANTARA PESANAN NABI SAW

Kerap menyebut Allah daripada menyebut makhluk.

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita hingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita.

Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut nama Allah.

Makhluk yang berbuat baik kita puji melangit, tetapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan langsung tidak ingat. Sebaik-baiknya lidah kita memuji Allah saban waktu, bukan ucapan alhamdulillah hanya selepas kekenyangan. Pujian begini hanya di lidah tidak menyerap ke lubuk hati. Kita hendaklah sentiasa membasahi lidah dengan zikrullah. Ini kerana dengan zikrullah manusia sentiasa ingat nikmat yang Allah limpahkan. Kata Imam Ibnu Qayyim, “Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang daripada siraman zikir, jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.”

Kerap menyebut dan mengingati hal kematian daripada hal kehidupan.

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara, tetapi jarang memikirkan bekalan hidup selepas mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana ia menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan sangat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan ketika hidup di dunia. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tidak mengusahakan kebun dunia masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat.

Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Ali dicontohi. Meskipun sudah dijamin syurga, Saidina Ali masih mengeluh mengenai kekurangan amalan bakal dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dosa?

Jangan selalu sebut keaiban atau keburukan orang lain. 

Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita gemar melihat keaiban orang sehingga terlupa keaiban dan kekurangan diri sendiri. Bak kata pepatah, ‘kuman seberang laut nampak, tetapi gajah depan mata tak nampak’.

Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dapat memperbaiki kekurangannya. Menuding jari mengatakan orang lain tidak betul sebenarnya memberi isyarat diri kita tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang, satu jari ke orang itu, tetapi empat jari lagi menuding diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, tetapi diri kita lebih buruk daripadanya.

Sebab itu, biasakan melihat keburukan diri sendiri bukan keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain sendiri koyak-rabak. Dalam Islam digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihat kejahatan yang ada walaupun kita pernah berbuat kebaikan.

Hanya dengan cara ini kita terselamat daripada bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka. Islam menganjurkan umatnya bersangka baik dan berbuat baik sepanjang masa. Sabda Rasulullah, “Cukuplah bagi seseorang keburukan jika ia menghina saudaranya sesama muslim.”

Demikianlah antara pesanan Rasulullah supaya umat Islam sentiasa dalam ruang lingkup kehidupan yang diberkati Allah dengan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Marilah pada setiap masa mengingati pesan Nabi kita dan jadikan ia suluh pedoman dalam melayari kehidupan di dunia yang fana ini.

Sesungguhnya, peringatan Rasulullah sentiasa sesuai sepanjang masa untuk umat manusia. Hanya kita yang lalai kepada pesanan berharga itu. Kita hanya menyesal apabila kita ditimpa kesusahan atau sakit. Ketika itulah baru hendak mengenali Allah dan ingat Rasulullah. Sebagai mukmin, marilah kita berpegang teguh kepada pesanan Rasulullah s.a.w.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan