Tips Dan Panduan Khusyuk Solat
Perkara-perkara berikut
perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap mukmin bagi mengekalkan solat
yang khusyuk:
.
1. SEBELUM MENDIRIKAN SOLAT:
.
i) Menjaga makanan,
minuman dan pemakaian.
Khusyuk itu berkaitan
dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu dipelihara kesuciannya dengan
menjauhkannya daripada benda-benda yang haram atau tidak halal. Oleh itu,
pastikan apa yang kita makan, minum, pakai, tempat tinggal dan lain-lain
hendaklah datang dari punca dan sumber yang halal tanpa syubhah.
Sabda Rasulullah
ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “Ketahuilah! Bahawa di
dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik baiklah badan seluruhnya dan
apabila ia rosak rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah ya dikatakan hati.” (Hadits
riwayat al-Bukhari dan Muslim)
.
ii) Membersihkan diri dan bersugi.
Diriwayatkan daripada Abu
Hurairah RadhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas
manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak solat.”(Hadits
riwayat al-Bukhari dan Muslim)
.
iii) Wudhuk yang
sempurna
Mengambil wudhuk dengan
sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati
niat. Sebab kesempurnaan solat juga terletak kepada kesempurnaan wudhuk.
Diriwayatkan daripada Abu
Rauh al-Kula‘ie daripada seorang laki-laki bahawa beliau pernah
mendirikan solat Subuh bersama Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam dan
Baginda membaca surah ar-Ruum. Pada salah satu ayatnya, bacaan Baginda
terganggu. Lalu apabila selesai solat Baginda bersabda:
“Sesungguhnya
bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu yang
solat bersama kami tidak menyempurnakan wudhuk mereka. Oleh itu, siapa yang
mendirikan solat bersama kami, maka sempurnakanlah wudhuknya.” (Hadits
riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)
Di samping itu sebahagian
kelebihan wudhuk itu dapat menjauhkan seseorang daripada gangguan syaitan.
Saidina ‘Umar RadhiAllahu ‘anhu berkata: “Sesungguhnya wudhuk yang
baik itu mengusir syaitan daripada engkau.”
.
iv) Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
Jangan memakai pakaian yang
kurang selesa, seperti memakai sarung kaki yang sempit, mengikat serban terlalu
ketat dan sebagainya.
Ditegah bersolat dengan
pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana
ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.
.
v) Jangan solat dalam keadaan lapar.
Sebolehnya selesaikan atau
perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk makan dan qadha hajat
terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul kebimbangan dan
ketidakselesaan ketika menunaikan solat.
Sabda Rasulullah
ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “Jangan solat ketika makanan (yang
hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam keadaan menahan
buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat
Muslim)
.
vi) Jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar atau
air kecil.
Sabda Rasulullah
ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “…dan jangan solat dalam
keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Hadis
riwayat Muslim)
.
vii) Pilih tempat solat yang menenangkan
Pilih tempat solat yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya. Termasuklah dengan memastikan telefon bimbit dimatikan sebelum solat.
Imam an-Nawawi Rahimahullah
menjelaskan bahawa makruh menunaikan solat di tempat orang lalu lalang, kerana
yang demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan solat seseorang.
Diriwayatkan daripada Ibnu
‘Umar RadhiAllahu ‘anhuma: “Bahawa Rasulullah
ShallAllahu ‘alaihi wasallam menegah mendirikan solat pada tujuh tempat: Tempat
pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah-tengah jalan, bilik
mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas Baitullah.” (Hadits
riwayat at-Tirmidzi)
.
iix) Gunakan Sejadah Tidak Mengganggu
Menggunakan sejadah yang
tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran. Pastikan supaya
tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan
hati di tempat sujud.
Diriwayatkan daripada
Saidatuna ‘Aisyah RadhiAllahu ‘anha bahawa Nabi ShallAllahu ‘alaihi wasallam
pernah mendirikan solat di atas hamparan daripada bulu yang mempunyai objek
lukisan, lalu Baginda bersabda: “Objek lukisan ini
mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan kepadaku hamparan tebal
yang tidak ada ukiran.” (Hadits riwayat Muslim)
.
ix) Pastikan tiada gangguan
Tersebut dalam satu riwayat
bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda kepada seorang
sahabat bernama ‘Utsman bin Thalhah RadhiAllahu ‘anhu: “Aku lupa
untuk menyuruhmu menutup dua tanduk kibasy (dari pandangan orang). Maka
sesungguhnya tidak sepatutnya ada di rumah sesuatu yang mengganggu orang yang
solat.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Imam an-Nawawi Rahimahullah
menjelaskan mengenai riwayat di atas bahawa ianya memberi petunjuk akan galakan
supaya menghindarkan atau menjauhkan apa-apa yang dikhuatiri melalaikan hati
dari khusyuk ketika mendirikan solat.
Tersebut di dalam riwayat
bahawa Abdullah bin ‘Umar RadhiAllahu ‘anhuma tidak pernah meletakkan al-Qur’an
atau pedangnya di tempat solatnya, juga tulisan atau surat. Semuanya diletakkan
di belakangnya atau di mana saja yang tidak dapat dilihat olehnya.
.
x) Solat Di Awal Waktu
Mendirikan solat di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak
gopoh apakala masa hampir luput.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan