Samakah antara Syaitan dan Jin
Para ulama’ berbincang panjang
tentang perbezaan yang wujud di antara iblis, syaitan dan jin. Kita boleh
merujuk perbincangan tersebut dalam kita tafsir al-Tabari, al-Qurtubi dan
lain-lain. Namun, secara ringkasnya boleh dinyatakan bahawa jin merupakan
makhluk Allah yang diberi tanggun jawab memperhambakan diri kepada Allah
seumpama manusia. Firman Allah dalam surah al-Zariyat ayat 56 bermaksud: Dan
(ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah
dan beribadat kepadaKu.
Justeru, jin adalah seumpama
manusia dari sudut keimanan dan kekufuran. Oleh itu, terdapat dalam kalangan
jin golongan yang Islam, soleh, kafir, fasik, munafik dan sebagainya. Firman
Allah dalam surah al-Jinn ayat 11 bermaksud: Dan sesungguhnya di antara kami
(jin) ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada yang tidak demikian
halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza. Jin merupakan makhluk
Allah yang diciptakan daripada api. Firman Allah dalam surah al-Hijr ayat 27
bermaksud: Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat
panas.”
Manakala iblis pula ialah makhluk
Allah yang derhaka dari kalangan jin. Al-Quran telah menyatakan dengan jelas
bahawa Iblis adalah daripada jenis jin. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahf
ayat 50, bermaksud: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada
malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan
Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap
perintah Tuhannya. oleh itu, Patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan
keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain
daripadaku? sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amat buruklah Iblis itu
sebagai pengganti bagi orang-orang yang zalim.
Manakala syaitan pula adalah
golongan yang engkar dari kalangan jin dan manusia. Firman Allah SWT dalam
surah al-An`am ayat 112 bermaksud: Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap
Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan
kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk
memperdaya pendengarnya. dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak
melakukannya. oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari
perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
Menurut al-Raghib al-Asfahani
dalam Mufradat Alfaz al-Quran, perkataan syaitan bermaksud ‘menjauhkan’. Oleh
itu, syaitan terdiri daripada golongan jin dan manusia yang cuba menjauhkan
serta menyesatkan hamba Allah daripada memperhambakan diri kepada-Nya dengan
digunakan pelbagai cara dan tipu daya. Syaitan dalam kalangan jin ialah anak
cucu kepada iblis, dan mereka sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia.
Boleh dikatakan bahawa syaitan anak cucu iblis ini merupakan golongan ‘mafia’
yang engkar dan sesat serta berusaha untuk menyesatkan orang lain. Syaitan
berusaha melakukan ‘peperangan’ dengan anak cucu Adam sebagai balas dendam atas
pengusiran nenek moyang mereka iblis dari syurga ekoran keengganan untuk sujud
pada nabi Adam.
Firman Allah dalam surah al-A`raf
ayat 16-17 bermaksud: Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan)
menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat
menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus; "Kemudian aku
datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan
mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka
bersyukur". Menurut Ibn Qayyim maksud "jalan yang lurus" di
dalam ayat di atas ialah Islam ialah jalan yang membawa kepada Allah SWT. Ini
bersesuaian dengan hadith yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan akan menghalang
anak Adam pada semua jalan.
Ibn Qayyim menyatakan lagi:
"Jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat; kanan, kiri, depan atau
belakang. Mana-mana jalan yang dilalui, syaitan sentiasa menunggunya. Jika dia
melalui jalan itu untuk melakukan ketaatan, syaitan akan menghalangnya dan
melambat-lambatkannya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan maksiat,
syaitan akan mengalu-alukan dan membantunya. Kalau perlu untuk masuk dari bawah
(demi menyesatkan manusia), syaitan pun akan melakukannya".
Jelaslah bahawa posisi depan dan
belakang yang dinyatakan itu memberi gambaran bahawa syaitan akan berusaha
untuk menghasut manusia melakukan kejahatan dan menghalang manusia daripada
melakukan kebaikan dari segenap penjuru yang ada pada manusia. Bahkan di dalam
ayat al-Quran al-Karim yang lain menggambarkan bahawa syaitan akan memerangi
habis-habisan untuk menyesatkan manusia dengan menggunakan keupayaan yang ada
padanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan