Al-Quran adalah kalam ALLAH. Padanya ada suruhan, larangan, iktibar dan pedoman buat manusia secara umumnya, dan buat mukminin khususnya. Membaca dan menghayati al-Quran tentunya menatijahkan kebaikan yang teramat banyak buat sesiapa yang melaziminya. Berikut adalah beberapa hadith dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam mengenai kelebihan membaca dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran:1) Al-Quran akan memberikan pertolongan pada Hari Kiamat.Dari Abu Umamah radhiAllahu `anhu katanya: ”Saya mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Bacalah olehmu semua akan al-Quran itu, sebab al-Quran itu akan datang pada Hari Kiamat sebagai sesuatu yang dapat memberikan syafa`at (pertolongan) kepada orang-orang yang memilikinya (mengamalkannya).”
(HR Muslim)
Dari an-Nawwas bin Sam`an radhiAllahu `anhu katanya: ”Saya mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Al-Quran itu akan didatangkan pada Hari Kiamat nanti, demikian pula ahli-ahli al-Quran iaitu orang-orang yang mengamalkan al-Quran itu di dunia, didahului oleh surah al-Baqarah dan surah ali-Imran. Kedua surat ini menjadi hujah untuk keselamatan orang yang mempunyainya (membaca, memikirkan dan mengamalkan).”(Riwayat Muslim)