Apakah hikmahnya Allah menciptakan makhluk halus yang boleh melihat manusia sedangkan manusia tidak boleh melihat rupa asal mereka. Dalam masa yang sama makhluk ini memusuhi manusia dan sering menyakiti manusia. Senang mereka memperlakukan manusia kerana mereka dapat melihat manusia. Mengapa begitu, harap Dato' jelaskan.
ZAINAL ABIDIN HUSSIN
Kota Sarang Semut
Jawapan
Bukan semua makhluk halus sentiasa mencelakakan manusia. Ada kalangan mereka beragama Islam dan ada yang kafir. Yang Islam kebiasaannya seperti manusia. Makhluk halus yang benar-benar Islamnya tidak akan menyakiti mana-mana makhluk.
Berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w (mafhumnya):"Seorang muslim yang sebenar adalah seorang muslim yang akan memberi keselamatan dan kesejahteraan kepada makhluk lain sama ada melalui lidahnya mahupun perbuatannya."
Manusia muslim dengan makhluk halus yang muslim adalah bersaudara berdasarkan Firman Allah dalam al-Quran (mafhumnya)""Sesungguhnya semua orang mukmin itu adalah bersaudara."
Makhluk halus yang benar-benar muslim menjadi saudara kepada kita dan tidak akan menyakiti kita.
Bagaimanapun, permusuhan merupakan salah satu sifat yang ada pada manusia dan makhluk halus.
Seperti manusia, sesama mereka pun bermusuhan, berperang dan berbunuhan, sifat yang sama juga ada pada makhluk halus.
Allah menganugerahkan suatu rahmat yang amat besar kepada manusia dengan mereka tidak dapat melihat makhluk halus.