PETALING JAYA: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din mengajak umat Islam kembali kepada cara hidup Islam dan sistem Islam. Katanya, air di empangan semakin kurang, hampir ¾ Malaysia berjerubu dan terbaru kehilangan kapal terbang MAS MH370. “Berpuluh-puluh kapal dan kapal terbang mencari MH370 tapi tak jumpa pun. Allah menguji kita bahawa ilmu kita sangat sedikit berbanding dengan ilmu Allah,” kata beliau dalam kuliah maghrib di sebuah masjid di Selangor yang dimuatkan intipati kuliahnya dalam Facebook.
Inilah kali pertama beliau bersuara selepas berlakunya peristiwa kehilangan MH370 itu pada 8 Mac lalu. Sambil memetik ayat al quran yang bermaksud, beliau berkata “ Jangan makan dan minum yang haram. Kalau kita langgar, ia mengundang kemurkaan Allah lalu Allah menurunkan bala kepada semua”. Beliau turut mendakwa kehilangan pesawat MAS itu menjadikan negara kita tumpuan seluruh dunia. “Tetapi Allah malukan kita dengan peristiwa tikar terbang sehingga Arab Saudi berkata kita biarkan syirik berleluasa,” katanya merujuk tindakan Raja Bomoh di KLIA yang menjadi bahan jenaka seluruh dunia.
Katanya, memang yang itu berlaku sebenarnya . “Allah hina negara kita dengan peristiwa seperti itu,” katanya lagi. Beliau berkata manusia tidak melihat peristiwa itu dengan mata hati kerana mata hati kita kotor dengan maksiat. “Allah mahu kita kembali kepadaNya dan bertaubatlah dan insaflah,” tegasnya lagi. Katanya, bila dah tiga empat hari kapal terbang tak diumpai, baru nak ingat pada Allah . “Baru nak buat solat hajat. Bagi yang terang mata hati, terus baca innalihi waina ilahi rajuin sewaktu awal-awal peristiwa itu berlaku,” katanya.
Beliau mencadangkan supaya MAS mencontohi penerbangan Arab Saudi dan Brunei yang berdoa selamatkan penerbangan mereka sebelum kapal terbang berlepas. “Sepatutnya kita berserah kepada Allah dalam setiap permulaan penerbangan,” katanya sambil mengajak umat Islam melihat dengan mata hati dan bukannya dengan mata kasar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan