Larangan dan Suruhan
bagi Memelihara Diri Daripada Kejahatan Syaitan
1. Mengambil berat tentang solat berjemaah
Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas
serta aman dari gangguan syaitan. Bersikap sambil lewa terhadap solat berjemaah
menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi mereka. Apabila
selalu berdampingan, lama-kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir atau
melakukan kejahatan lain.
Mengikut riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda, ertinya:
"Mana-mana kampung mahupun kawasan-kawasan hulu yang tidak mendirikan
solat berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan didampingi
oleh syaitan. Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah. Sesungguhnya serigala
akan memakan kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya." (Riwayat Abu
Dawud dengan sanad yang baik).
2. Menyebut nama Allah apabila masuk ke rumah dan apabila makan
Imam Muslim meriwayatkan di dalam Sahihnya, sebuah hadith dari Jabir bin
Abdullah RA, beliau pernah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda,
maksudnya:
"Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut nama Allah
ketika masuk dan ketika makan, syaitan akan berkata kepada teman-temannya,
'Tidak ada tempat penginapan dan makan malam untuk kalian.' Jika dia memasuki
rumahnya tanpa menyebut nama Allah, syaitan akan berkata (kepada
saudara-saudaranya), 'Kalian boleh ikut menginap di dalamnya malam ini.' Dan
ketika makan, dia tidak menyebut nama Allah, syaitan berkata, 'Kalian boleh
ikut menyantap makan malam.'"
3. Membaca doa perlindungan apabila masuk ke tandas
Terdapat hadith daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, apabila Nabi
Muhammad SAW memasuki tandas, baginda mengucapkan:
"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari jin kafir (syaitan) betina dan
syaitan jantan." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
4. Berwuduk sebelum tidur
Disebutkan sebuah hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Bara` bin Azib
RA, maksudnya:
"Apabila kamu hendak mendatangi tempat tidurmu, berwuduklah sebagaimana
kamu berwuduk untuk melakukan solat." (Hadith Riwayat Bukhari dan
Muslim)
5. Membaca Ayat Kursi sebelum tidur
Dalam satu hadith yang panjang, diringkaskan di sini, bahawa Abu Hurairah RA
menceritakan beliau telah didatangi seorang pencuri yang mencuri hasil kutipan
zakat yang dijaganya sebanyak tiga kali, sedangkan telah dua kali diberi amaran
dan dia telah berjanji tidak akan datang mencuri hasil kutipan zakat itu
lagi.
Untuk kali ke tiganya, dia berkata "Lepaskanlah saya, saya akan mengajarkan
beberapa kalimat semoga Allah memberikan manfaat untukmu dengan kalimat
ini." Beliau pun bertanya tentang doa itu. Dia berkata, "Jika kamu
berbaring di perbaringan, bacalah ayat kursi, kerana dengan begitu, Allah akan
sentiasa menjagamu dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga pagi
harinya."
Maka beliau pun melepaskannya sekali lagi. Pagi esoknya, Rasulullah SAW
bertanyakan akan hal tahanannya lagi, lalu Abu Hurairah RA menceritakannya.
Lalu baginda bersabda, "Mahkluk itu telah berkata benar kepadamu,
sedangkan ia adalah si pendusta. Wahai Abu Hurairah, tahukah kamu siapa yang
kamu ajak bicara sejak tiga hari yang lalu itu?" Beliau menjawab,
"Tidak". Baginda bersabda, "Ia adalah syaitan." (Hadith
Riwayat Bukhari dengan ta'liq)
6. Membaca Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas kemudian sapu seluruh badan
sebelum tidur
Satu hadith daripada Aishah RA, mengatakan,
"Gabungkanlah kedua telapak tangan anda dan bacalah surah Al-Ikhlas,
Al-Falaq dan An-Nas padanya. Kemudian, tiuplah keduanya lalu sentuh anggota
badan seluruhnya, sejauh yang dapat dicapai dimulai dari kepala." (Hadith
sahih Bukhari, riwayat Aishah RA)
7. Tutup mulut apabila menguap
Dalam satu hadith, Abu Said Al-Khudri RA berkata, bahawa Rasulullah SAW
bersabda, maksudnya:
"Apabila salah seorang di antara kamu menguap, hendaklah dia menutup
mulutnya dengan tangan, kerana syaitan akan masuk." (Hadith Riwayat Imam
Muslim dan Ad-Damiri)
8. Bersihkan hidung jika terjaga tengah malam
Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Apabila salah seorang di antara kamu terbangun dari mimpinya, hendaklah
dia melakukan istintsar tiga kali, kerana syaitan bermalam pada
hidungnya." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Istintsar ialah perbuatan menyedut air ke dalam hidung, kemudian menghembusnya
keluar, seperti ketika berwuduk. Hikmah lain istintsar ialah ia merupakan satu
penawar bagi penyakit resdung. Amalkanlah selalu, contohnya selepas keluar ke
kawasan kotor berdebu seperti di jalan raya.
9. Mendirikan Solat Tahajjud
Apabila seseorang tidur, lalu bangun di pagi harinya tanpa sedikit pun
qiyamullail, syaitan akan semakin dekat menguasainya. Dari Abdullah bin Masud
RA, dia berkata,
"Pernah disebutkan kepada Rasulullah SAW seorang lelaki yang tidur semalam
penuh hingga bangun di pagi harinya, maka beliau bersabda: 'Itu adalah orang
yang kedua telinganya (atau satu telinganya) telah dikencingi syaitan.'"
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
10. Tutup rumah dan tahan anak-anak menjelang Maghrib
Dalam satu hadith marfu' yang meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah RA,
katanya;
"Janganlah kalian biarkan unta, lembu, kambing dan yang sejenisnya, serta
anak-anak kalian masih berkeliaran di luar rumah ketika matahari terbenam
hingga kabut malam (waktu Isya') menghilang; kerana syaitan-syaitan bertebaran
ketika matahari terbenam, hingga kabut malam menghilang." (Hadith Riwayat
Muslim)
11. Jangan kencing pada lubang-lubang
Imam Nasa'i meriwayatkan dari Qatadah, dari Abdullah bin Sirjis, katanya Nabi
Muhammad SAW bersabda, maksudnya;
"Janganlah salah seorang di antara kaluan kencing pada
lubang-lubang." Mereka bertanya kepada Qatadah, "Mengapa kita
dimakhruhkan untuk kencing pada lubang-lubang?" Dia menjawab, "Kerana
lubang-lubang merupakan tempat tinggal jin." (Hadith Riwayat Abu Dawud,
An-Nasa'i dan Imam Ahmad)
12. Mengingat Allah setiap waktu dan keadaan
Menurut satu kajian oleh Prof Dr Sir Norhisham Wahab, seorang pelopor Colour
Vibration Therapy (CVT), syaitan dan jin tidak memiliki unsur jasad menyebabkan
mereka tidak dapat dilihat sebaliknya kewujudan mereka terbukti menerusi sains
fizik kuantum dan mampu dikesan menggunakan teknologi gelombang. Zikir pula
memiliki gelombang tetap dan apabila diamalkan secara berterusan, gelombang
zikir akan menguasai ruang kosong pada tubuh manusia dan menjadikannya pejal,
menyebabkan tiada lagi ruang untuk dimasuki gelombang asing seperti syaitan
atau jin. Selalulah berzikir dengan zikir yang telah diajar oleh Rasulullah SAW
yang banyak dikumpulkan sekarang di dalam koleksi Al-Maksurat dan
Al-Azkar.
Dalam satu hadith, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya;
"Dan aku memerintahkan kalian untuk mengingat Allah kerana perumpamaan
mengenai hal itu seperti seorang lelaki yang dikejar oleh musuh-musuhnya hingga
ia sampai di sebuah benteng kukuh yang melindungi dirinya dari mereka. Sama
halnya dengan seorang hamba tidak akan dapat menjaga dirinya dari syaitan
kecuali dengan mengingat Allah (berdzikir kepada Allah)." (Hadith Riwayat
At-Tirmidzi)
13. Mengingat Allah ketika bangun tidur
Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;
"Jika seseorang dari kalian tidur, maka syaitan membuat tiga ikatan pada
lehernya yang dilakukan padamu sepanjang malam tidurmu. Maka tidurlah, dan jika
kamu terbangun, sebutlah/ingatlah Allah, maka satu ikatan akan terlepas.
Kemudian jika kamu berwuduk, maka akan terlepas satu ikatan, dan kemudian jika
kamu melaksanakan solat, maka akan terlepas satu ikatan lagi hingga ia
memulakan paginya dengan semangat dan jiwa yang bersih. Jika tidak, maka
jiwanya akan kotor dan dalam keadaan malas."(Hadith Riwayat Bukhari dan
Muslim)
14. Mengingat Allah ketika keluar rumah
Dari Anas bin Malik RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda,
maksudnya;
"Barangsiapa yang ketika akan keluar rumah mengucapkan; bismillahi
tawakkaltu alalloh la haula wa la quwwata illa billah (dengan nama Allah, aku
berserah diri kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali kekuatan
Allah), maka kepadanya akan dikatakan cukuplah bagimu, kamu telah dijaga dan
syaitan telah menjauh darimu." (Haith Riwayat At-Tirmidzi)
15. Mengingat Allah ketika masuk masjid
Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA, dari Nabi Muhammad SAW
bahawa ketika akan masuk masjid, baginda mengucapkan, "A'udzu
billahil-azhim wa bi wajhihil-karim wa sultonihil-qodimminassyaithonirrojim
(Aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung, dengan wajah-Na yang mulia dan
dengan kekuasaan-Nya yang qodim dari syaitan yang terkutuk." Beliau
berkata, "Itu saja?" Baginda berkata, "Ya, jika seseorang
mengucapkan ini, maka syaitan akan berkata 'Ia telah dijaga dariku sepanjang
hari'. " (Hadith Riwayat Abu Dawud)
16. Merapatkan saf solat berjemaah
Ibnu Umar berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya;
"Luruskan barisan dan rapatkan bahu-bahu di antara kamu, dan lembutkan
badan kamu untuk saudara yang di sebelah kamu. Jangan tinggalkan ruang kosong
untuk syaitan mengambil tempat. Sesiapa yang merapatkan saf, maka Allah akan
bersama dengannya dan siapa yang memutuskan saf, maka Allah akan putuskan
hubungan dengannya." (Hadith Riwayat Abu Dawud)
17. Mengingat Allah ketika menanggalkan pakaian
Dari Anas RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya;
"Penghalang antara pandangan syaitan dan aurat anak cucu Adam adalah,
apabila ia menanggalkan pakaiannya, mereka mengucapkan bismillah." (Hadith
Riwayat At-Thabarani)
Adalah penting membaca doa menanggalkan pakaian kerana banyak kes terjadi di
mana jin telah tergoda dengan manusia dan menaruh cintanya kepada manusia itu
hingga membawa mudarat kepadanya. Doa menanggalkan pakaian:
Ertinya: Dengan nama Allah yang tiada tuhan selain dari Dia.
18. Mengingat Allah ketika akan berhubungan suami isteri
Dari Abdullah bin Abbas RA, ia mengatakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda
maksudnya;
"Jika salah seorang dari kalian ingin menggauli isterinya, hendaklah ia
mengucapkan 'Allahumma janibnassyaiton wa jannibissyaiton ma rozaqtana' (Ya
Allah ya Tuhan kami, jauhkanlah kami dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari apa
yang telah Engkau berkan kepada kami). Jika Allah menakdirkan kepada keduanya
seorang anak (dari hubungan itu), maka anak tersebut akan terhindar dari
syaitan selamanya." (Hadith Riwayat Bukhari)
19. Makan Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah
Buah Tamar atau Kurma mempunyai pelbagai khasiat. Bagi Tamar 'Ajwah dan Tamar
Madinah, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya;
"Barangsiapa yang memakan tujuh biji kurma Madinah setiap paginya, maka
pada hari itu ia tidak akan dibahayakan oleh racun mahupun sihir." (Hadith
Riwayat Bukhari)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan