MAKLUMAN

INFAK/ WAKAF BANGUNAN DARUSSYIFA' JASIN

Infakkan sebahagian daripada harta anda untuk diwakafkan kepada pembelian bangunan Darussyifa' Jasin sebanyak 3000 kaki persegi dengan harga RM50.00 sekaki persegi.

Hubungi bendahari Ustaz Azrul di talian 0104252580 atau akaun
Bank Islam 04-033-02-027914-3

28 Oktober 2011

ANDA BERTANYA,TUAN GURU MENJAWAB


Ada suatu ilmu yang dipanggil pelalau, iaitu ilmu yang digunakan atas seseorang untuk menghalang dari bertemu jodoh. Dilakukan ini kadang-kadang ke atas seorang perempuan sehingga tidak bertemu jodoh atau pun ke atas lelaki. Bolehkah dan benarkan adanya ilmu ini? Mampukah manusia melakukannya? Apakah hukumnya mempercayai perkara sebegini?

NURKHAIRIAH ABDUL SAMAD
Tangkak

Jawapan
Jodoh pertemuan, hidup mati, bertemu dan berpisah termasuk dalam Qada' dan Qadar Allah S.W.T. Insan hanya mampu berusaha dan Allah akan menentukan segala-galanya.
Memang berlaku dalam masyarakat Islam, khasnya Melayu, ada beberapa kejadian di mana orang perempuan sukar hendak bertemu jodoh atau bertemu pasangan yang berakhir dengan perkahwinan.
Ada yang langsung tidak pernah bertemu. Ada yang bertemu, berkawan, berbaik-baik tetapi bila sampai hendak berkelamin, ada sahaja halangan.
Inilah kejadian yang diistilahkan dengan ilmu pelalau. Saya khusus saya tidak mengetahui ilmu ini, tetapi itulah yang disebut ramai sebagai pelalau.
Memang berlaku dalam masyarakat kita, ada orang perempuan yang tiada sebarang cacat cela akhlak serta tubuh badannya, akhlaknya, tetapi ada orang yang menghampirinya. Hal sedemikian memang berlaku.
Tambahan pula akhir-akhir ini disebutkan bilangan orang lelaki dan perempuan yang sudah berusia tidak berkahwin, begitu ramai.
Pada saya perkahwinan adalah rezeki yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Ianya rezeki, kadang-kadang ada orang rezekinya murah, usaha sedikit tetapi mendapat pulangan yang lumayan, ada orang usahanya banyak, pulangan sedikit dan ada orang yang usahanya begitu banyak, tiada apa-apa pulangan, sebaliknya mengalami kerugian.
Itu adalah sebagai satu contoh, bagi seorang perempuan atau lelaki yang mendapatkan suami atau isteri, perlulah dia berusaha untuk mendapatkannya. Bagaimana pun usaha itu perlu mendapat kesesuaian keadaan masing-masing.
Walaupun pada asasnya perempuan menanti pinangan, manakala lelaki perlu mencari bakal isteri. Tetapi jangan lupa dalam Islam, perkahwinan agung yang berlaku kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w dengan Khadijah bt Khuwailid.
Ia dimulakan oleh Khadijah sendiri, menghantar utusannya pada Muhammad pada ketika itu, Ummu Kalsum, dan berlakulah rundingan yang ikhlas seolah-olahnya Khadijah meminang Muhammad, pinangan diterima, maka berlakulah perkahwinan.
Ini bererti, Khadijah memulakan suatu usaha walaupun beliau berumur 40 tahun dan Muhammad bin Abdullah berusia 25 tahun. Jika dicongak pada akalnya, barangkali sukar untuk ditemukan jodoh antara seorang perempuan yang 15 tahun lebih tua dari lelaki, dari hasil usaha dari perempuan sendiri.
Inilah rezeki yang menemukan jodoh mereka, menjadikan mereka sebuah keluarga yang aman damai serta bahagia hingga ke akhir hayat Khadijah.
Demikian hari ini, rezeki untuk mendapatkan seorang teman hidup, perempuan inginkan mendapat seorang lelaki yang bertanggungjawab membahagiakannya, tidak selama-lamanya datang bergolek. Maka perlu berusaha.
Usaha itulah yang menentukan kadang-kadang cepat berjaya, kadang-kadang tidak.
Ada pun satu kemungkinan yang boleh berlaku dalam masyarakat, seorang perempuan yang cantik, kaya, keturunan, akhlak dan agamanya baik, mungkin telah dilamar seorang yang sepadan dengannya tetapi ditolak.
Kadang-kadang penolakan dibuat dengan kata-kata yang menyebabkan si peminang berasa terhina. Atau ditolak dengan alasan yang dibuat-buat, atau tidak boleh menerima lamaran kerana ingin menyambung pelajaran, atau kerana sudah dimiliki orang lain sedangkan semuanya itu tidak benar.
Mungkin orang yang ditolak pinangannya itu berasa amat berkecil hati dan berasa terhina, barangkali ada sebutan yang menjatuhkan maruahnya.
Jika dia dizalimi, sebagai orang yang kena hina, maka dia berdoa kepada Allah SWT agar Allah bertindak balas kerana penghinaan yang dilakukan, maka mungkin doa itu dimakbulkan.
Ada hadis yang menyebutkan, "Takutlah kamu kepada doa orang kerana zalim, kerana doa orang yang kena zalim ini, tiada sekatan di antaranya dengan Allah SWT."
Takut orang itu merasakan perempuan yang diinginkan, telah melukakan hatinya, diminta Allah supaya jangan memberikan hingga akhir atau atau biarkan perempuan itu menemui jodoh dalam usia yang lanjut. Itulah yang mungkin berlaku sebagai doa.
Apa yang dinamakan pelalau, mungkin wujud ada dalam bentuk sihir, persoalan sihir ini, pernah saya jawab dalam siri-siri terdahulu.
Ada sihir pengasih dipanggil attiwalah, ada yang lain disebut sihir pembenci yang lebih hampir kepada pelalau.
Dalam Surah al-Baqarah, disebutkan bahawa, sihir diusahakan sehingga ia dapat memecahkan antara suami dengan isteri. Tidak berlaku perpecahan dan perceraian melainkan berlakunya benci membenci.
Jika ini berlaku (sihir pembenci), ia akan menyebabkan orang melihat seseorang itu, ia tidak mengundang kebaikan kepada hati, tetapi mengundang kebencian kepada hati. Inilah yang dinamakan pelalau.
Sama ada akidah kita rosak atau tidak, ia bergantung kepada pegangan kita. Jika kita kuat berpegang kepada aqidah, kita meyakini bahawa apa sahaja yang berlaku atas takdir dan kehendak Allah Yang Maha Mengkehendaki.
Jika Allah SWT mengkehendaki seseorang itu tidak mendapat jodoh atau hanya mendapat jodoh pada usia yang lewat, maka itulah kehendak Allah, bukan atas usaha manusia.
Jangan meletakkannya sebagai usaha manusia untuk menghalang rezeki seseorang, walhal rezeki dan jodoh adalah ditangan Allah SWT, bukan manusia yang menentukannya. Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan