08 Mac 2013


PAHALA BERTERUSAN MELALUI SEDEKAH JARIAH

DARIPADA Abu Hurairah, Rasulullah ada bersabda, bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang salih yang berdoa untuknya.” – (Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad. Mustika Hadis 3:312)

Dalam hadis ini tiga amalan yang dapat membantu seseorang pada hari akhirat kelak iaitu sedekah yang pahalanya berterusan, ilmu baik yang diajarkan dan juga doa anak yang salih.

Termasuk dalam kategori sedekah jariah ialah harta yang diwakafkan, termasuk bangunan, tanah, rumah, kebun atau lain-lainnya untuk dimanfaatkan oleh orang lain. Misalnya, seseorang mewakafkan bangunan untuk dijadikan sekolah, asrama, hospital, masjid dan seumpamanya.

Mendirikan bangunan untuk kepentingan awam yang dihalalkan Islam juga dikira sedekah jariah. Menubuhkan perpustakaan atau pusat sumber bagi meningkatkan ilmu dan iman orang Islam juga amal jariah yang sangat dituntut.

Ini bermakna, segala amalan kebajikan untuk kepentingan awam yang dihalalkan dikira sedekah jariah. Pahala berterusan akan diterima oleh orang yang melakukan amal itu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan