MAKLUMAN

INFAK/ WAKAF BANGUNAN DARUSSYIFA' JASIN

Infakkan sebahagian daripada harta anda untuk diwakafkan kepada pembelian bangunan Darussyifa' Jasin sebanyak 3000 kaki persegi dengan harga RM50.00 sekaki persegi.

Hubungi bendahari Ustaz Azrul di talian 0104252580 atau akaun
Bank Islam 04-033-02-027914-3

28 Januari 2013


PERBOMOHAN MENURUT ISLAM

Menurut Islam, hukum menggunakan khidmat bomoh atau seumpamanya dalam perubatan tradisional terbahagi kepada dua iaitu harus dan haram.
Keharusan menggunakan khidmat bomoh dalam perubatan tradisional tidak bersifat mutlak. Ia dibatasi dengan syarat tertentu seperti;

·    Perubatan bomoh itu menyebut nama Allah atau salah satu namanya.
·    Menggunakan ayat Al-Quran dan doa yang diamalkan oleh nabi dan rasul. 
·    Menyakini bahawa perkara itu tidak dapat memberi kesan secara tersendiri, bahkan adalah dengan ketentuan Allah SWT.

Perubatan bomoh menjadi haram jika; 
  • Cara rawatannya itu bertentangan dengan syarak. Misalnya, menggunakan khidmat jin, pemujaan, jampi, mentera dan sebagainya yang tidak mengikut cara rawatan yang diharuskan oleh Islam.
  • Orang yang berubat benar-benar beriktikad bahawa bomoh itulah menyembuhkan pesakitnya tanpa bergantung kepada Allah.
Kesan daripada amalan mempercayai bomoh ini sangat besar. Ia telah menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Jika ia terus diamalkan, akan mendatangkan imej buruk kepada Islam dari pandangan agama lain.

Akidah adalah penentu kaitan seseorang dengan Islam, manakala syariah pula sebagai pengukur keteguhan dan kekuatan akidah. Akidah Islam adalah akidah yang bebas daripada sebarang unsur syirik dan khurafat. Syirik adalah pencemaran terhadap akidah, sementara khurafat adalah pencemaran terhadap kewarasan berfikir.

Menggunakan khidmat bomoh yang mengubati dengan cara yang salah seperti menggunakan khidmat jin, jampi mantera dan pemujaan bukanlah jalan penyelesaian yang hakiki bagi semua penyakit dan masaalah yang dihadapi. Usaha untuk menyelesaikan sesuatu masaalah digalakkan oleh Islam. Tetapi, biar bertepatan dengan fitrah kemanusiaan dan selari dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah.

Setiap bomoh hendaklah merasakan bahawa setiap sesuatu yang dilakukannya itu kerana takut kepada Allah. Pada masa yang sama, orang yang menerima rawatan daripada bomoh pula harus memastikan rawatannya tidak bercanggah dengan Islam.

JAMPI BOLEH GUNA AYAT AL-QURAN  DAN BAHASA DIFAHAMI

Perbomohan tidak boleh dikaitkan dengan zat Allah SWT dan sifat-Nya atau maksud disebalik kalimah atau nama Allah atau sifat-Nya. Contohnya, mengatakan  ilmu bomoh itu diterima terus daripada Allah atau kudratnya adalah kudrat Allah atau melalui mimpi berjumpa wali, malaikat atau lainnya. Pengamalan bomoh tidak boleh diertikan sebagai maksud yang tersirat daripada diri atau jasad dan roh Rasulullah SAW, malaikat, nabi dan orang soleh seperti Nur Muhammad menjelma ke dalam diri dan sebagainya.

Mengikut Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam yang di keluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia; 

27 Januari 2013


Waktu Mustajab Untuk Berdoa

  1. Di antara azan dan iqamah.
  2. Ketika berdiri memulakan dan sesudah selesai solat.
  3. Ketika sujud dalam solat.
  4. Ketika iktidal akhir dalam solat.
  5. Selepas solat Subuh, sebelum terbit matahari.
  6. Di antara waktu Zuhur dan Asar dan selepas waktu Asar.
  7. Setiap lepas solat fardhu.
“Jarak yang paling dekat antara seorang hamba dengan Rabbnya ialah ketika sujud. Maka perbanyaklah doa (di waktu itu).”   (H.R. Muslim)
“Tidak seorang pun menaruh keningnya bersujud kepada Allah dan ia berkata: Tuhanku,ampunilah dosaku sebanyak  tiga kali, kecuali pada saat ia mengangkat kepalanya telah diampuni dosanya.”   (H.R. Ibnu Abi Syaibah)

Tempat Mustajab Berdoa

Antara Tempat-Tempat Afdhal Berdoa Adalah:
  1. Dalam Masjid Al-Haram, terutama di hadapan Kaabah.
  2. Multazam, diantara Hajar Aswad dan pintu Kaabah.
  3. Ketika melihat Kaabah.
  4. Ditempat Melakukan Tawaf.
  5. Di sisi Telaga Zam-zam ketika tenggelam matahari.
  6. Di belakang Maqam Ibrahim di Masjidil Haram.
  7. Di Hijir Ismail.
  8. Di sisi Multazam.
  9. Di bawah Pancuran Emas.
  10. Di tempat Sa’i.
  11. Di atas Bukit Sofah.
  12. Di atas Bukit Marwah.
  13. Di Padang Arafah.
  14. Di Arafah terutama selepas Asar menjelang tenggelam matahari.
  15. Di Muzdalifah.
  16. Di Mina.
  17. Di sisi Jamrah Al-Ula.
  18. Di sisi Jamrah Al-Wusto.
  19. Di sisi Jamrah Al-’Aqabah.
  20. Dalam Masjid Nabawi (di Madinah), terutama di Raudhah.
  21. Di Masjid Al-Aqsa, Baitul Muqqadis.
  22. Di makam para Nabi dan Rasul.
  23. Di dalam semua masjid.
  24. Di tempat yang sunyi.

26 Januari 2013


Bolehkah Manusia Melihat JIN?

Manusia tidak boleh melihat JIN dalam kewujudannya yang asli, kerana Allah s.w.t.telah memperkenankan permohonan Bapak JIN(ketika mula diciptakan) agar ia dapat melihat tetapi ia sendiri tidak dapat dilihat. (JIN pula tidak boleh melihat malaikat kerana malaikat diciptakan dari cahaya di mana lebih hebat dari JIN).

Firman Allah (bermaksud): “Sesungguhnya dia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari semua tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka.”  - (Surah Al-A’raaf: 27).

Maka barang siapa yang mendakwa dia telah melihat JIN/ Syaitan (dalam keadaan rupa sebenar) maka dia telah berdusta, kecuali dia memang seorang nabi. Sebab bagi para nabi melihat jin adalah suatu mukjizat (merupakan bukti kenabian).
Al-Qusyairi menyatakan, “Allah s.w.t sudah menetapkan (mengikut hukum alam) bahawa anak cucu Adam tidak akan dapat melihat syaitan di dunia.”

Dalam buku ‘Aqidah Islam’, Prof. Sayyid Sabiq menulis, JIN atau syaitan itu secara aslinya tidak dapat dilihat oleh mata (zahir). Tidak diketahui bagaimana bentuknya tetapi mereka mempunyai kuasa menjelma diri dalam bentuk lain, menyerupai sahabat terdekat, kekasih atau suami seorang wanita dan haiwan.

 Dalam hal ini (lebih-lebih lagi untuk waktu yang lama) adalah sesuatu yang sulit dilakukan oleh JIN mahupun syaitan. Ia memerlukan kondisi-kondisi jasmaniah dan psikologi yang membantu dan terjadinya pula pada waktu-waktu tertentu sejalan dengan kebolehan jin atau syaitan itu.

JIN dan syaitan sebenarnya menderita kesakitan sewaktu menukar jasadnya ke dalam bentuk asal. Ia memerlukan masa yang lama dan proses pertukaran ini mengalami penderitaan yang teruk.

Di samping itu ia juga takut akan perkara-perkara yang boleh mengakibatkan risiko(kerana ia pun takut akan manusia) sama ada tertangkap atau mati dibunuh. Bila tertangkap dan dibaca kepadanya Ayat Kursi, nescaya akan menggeletar sehingga boleh mengalami stress berat dan akhirnya mati. Kalau tidak pun ia akan lemah-lunglai dan menjadi tidak bermaya.

PERBEZAAN ANTARA IBLIS, JIN DAN SYAITAN HAKIKAT IBLIS

Iblis laknatullah adalah bapa dan asal dari bangsa jin,sebagaimana Adam adalah bapa dan asal dari manusia.sebagaimana yang dikatakan Atthabari:dari Alhasan:
artinya: Tidak adalah iblis itu dari malaikat sekejap mata pun,dan sesungguhnya dia itu asalnya jin sebagaimana Adam asalnya manusia.
Tetapi kadangkala kita terkeliru mengenai ayat yang memerintahkan malaikat untuk sujud kepada Adam,adakah Iblis juga didalam golongan malaikat?untuk jawapanya perhatikanlah apa yang dikatakan oleh Azzamakhasyari dalam tafsir Al-kassyafnya:
Ertinya: Tatkala bersifat iblis itu dengan sifat malaikat maka dihimpunkanlah ia bersama malaikat didalam ayat tersebut dan kerananya dihayatilah suatu pengecualian dan telah diterangkan perkara itu didalam firman Allah: "kecuali iblis,adalah ia dari bangsa jin"
HAKIKAT JIN
Disebutkan didalam kitab Alkaukabul Ajuj halaman 152,seperti berikut:
Ertinya: Dan adapun jin itu,maka yaitu zat zat yang halus,yang dapat berubah ubah bentuk dengan bentuk yang berlain lainan dan dapat nyata darinya perbuatan yang aneh.sebahagian dari mereka ada yang beriman dan ada yang kafir,ada yang taat dan ada yang derhaka.

TANDA GANGGUAN JIN SEMASA TIDUR

  Sangat susah untuk tidur pada waktu malam, sekalipun dapat tidur ia mengambil masa yang 
  lama.
- Rasa cemas dan sering terjaga pada waktu malam
- Mimpi buruk atau mimpi melihat sesuatu yang menakutkan serta memekik untuk meminta 
  pertolongan
   tetapi tidak sanggup.
- Mimpi melihat sesuatu yang amat menyeramkan
- Mimpi melihat binatang seperti ular, kucing, anjng, unta, singa, serigala, dan tikus.
- Gigi geraham berbunyi pada waktu malam.
- Perasaan sedih ketika tidur.
- Berdiri serta berjalan ketika tidur tanpa sedar.
- Mimpi jatuh dari tempat yang tinggi.
- Mimpi berada di dalam kubur, tempat pembuangan sampah atau tempat yang mengerikan.
- Mimpi melihat seseorang yang sangat aneh, seperti sangat tinggi atau sangat pendek.
- Mimpi melihat hantu.

MARTABAT NAFSU

MARTABAT NAFSU
Bila bercakap tentang nafsu, ramai di antara kita mengatakan atau menganggap ia sebagai suatu kelakuan jahat yang terbit dari perlakuan seseorang. Ada sesetengah orang berkata “jangan mengikut nafsu, nanti menjadi lesu” hidup ini jangan sekali-kali mengikut nafsu kerana ia adalah pekerjaan syaian.

Pendek kata ramai diantara kita belum lagi mengetahui takrif nafsu dan juga martabat nafsu. Adapun takrif nafsu boleh dibahagikan kepada dua (2) iaitu :

Nafsu adalah satu perlakuan naluri manusia yang mendorongkan perlakuan yang dikuasai oleh iblis laknatullah untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syari’at dan hakikat Allah swt. Ianya terbit daripada kekotoran hati manusia dengan Allah swt.

Nafsu juga boleh ditakrifkan sebagai suatu martabat kelakuan hati dan kalbun manusia di dalam arah tuju ke martabat kesucian seseorang itu pada hakikat dan makrifat dengan Allah swt. Ianya boleh ditafsirkan sebagai taraf dan tahap hijab-hijab yang harus ditembusi oleh manusia untuk mengenal dirinya dan mengenal ia akan Tuhannya.

Adapun nafsu itu letaknya di cabang hai manusia. Ianya bertindak sebagai dinding (hijab) perhubungan diantara diri rahsia manusia dengan tuan empunya diri (Tuhannya).

Oleh itu tugas manusia yang hendak menuju kepada makrifat hendaklah pula memecahkan ruyung-ruyung hijab ini sehingga ianya sampai ke martabat yang paling tinggi kemuliaannya di sisi Alah swt. dan bebaslah diri batin manusia itu untuk bertemu dengan diri empunya Diri pada setiap saat dan ketika. Tanpa memecahkan ruyug-ruyung nafsu tadi, manusia tidak mungkin dapat kembali kepada Tuhannya semasa hidup (masih bernafas) atau mematikan dirinya sebelum mati.

Disamping itu manusia yang hendak menuju ke jalan makrifat Tuhanya haruslah pula berusaha supaya sampai ke martabat mematikan diri sebelum mati.

Adapun Martabat Nafsu pada diri manusia itu adalah terdiri dari tujuh (7) nafsu sebagimana yang termaktub didalam Al-Quran :

Nafsu AMARAH
Nafsu LAWAMAH
Nafsu MULHAIMAH
Nafsu MUTHMAINAH
Nafsu RADIAH
Nafsu MARDIAH
Nafsu KAMALIAH

“Sesungguh nya Kami telah menciptakan ke atas dirimu tujuh jalan (nafsu)”( Surah Al-Mu’minun ayat – 17 )

25 Januari 2013


 Benarkah sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia ?

*

Seringkali dicanang dan dimomokkan dalam cerita seram yang ditayang di TV bahawa sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia. Kenyataan ini memang meragukan kerana tidak pernah dinyatakan asas sandarannya daripada al-Quran dan hadith. Walau bagaimanapun ia seolah-olah sudah menjadi fakta yang diterima ramai sehingga para penerbit filem seram berani menggunakan kenyataan di atas sebagai dialog yang digunakan dalam filem mereka.

Asas pertama yang perlu dipegang apabila membicarakan perihal jin dan malaikat ialah keimanan kepada perkara ghaib. Oleh kerana alam jin adalah alam ghaib yang terhalang daripada alam nyata (al-A’raf [7.27]), manusia tidak boleh berbicara tentang jin kecuali mengikut neraca al-Quran dan al-Sunnah. Hanya kedua sumber Islam itu sahaja yang mampu menelah dan menembusi alam Jin. Sesiapa sahaja yang ingin mengutarakan buah fikiran mengenai alam Jin perlu terlebih dahulu merujuk kepada kedua sumber Islam supaya umat Islam tidak berpegang kepada asas yang rapuh, tidak berasas atau disuap dengan fakta karut dan khurafat yang tidak banyak membina iman atau minda.

Kenyataan yang terlalu umum “ sebaik-baik Jin sejahat-jahat manusia “ secara tidak langsung akan menzalimi sebahagian Jin Islam yang dipuji Allah dan disebut kisah mereka dalam al-Quran. Mereka ini jugalah generasi awal Jin Islam yang bertanggungjawab menyebarkan Islam kepada bangsa Jin kerana Jin dan manusia mempunyai tanggungjawab agama dan akan dihisab di akhirat kelak (al-Rahman [55:31-36]).

Generasi awal Jin Islam yang disebut kisah mereka dalam al-Quran ini juga selayaknya digelar sahabat nabi kerana memenuhi ciri serta takrifan para ulama’ hadith iaitu sesiapa sahaja yanag bertemu dan beriman kepada nabi Muhammad SAW. Sekiranya kenyataan tersebut berterusan dipegang, kita secara tidak langsung akan menghukum para sahabat nabi jauh lebih jahat daripada manusia sedangkan para ulama sepakat mengatakan para sahabat adalah adil dan baik.


Generasi awal Jin ini juga dikitiraf sebagai Rasul atau utusan pendakwah di kalangan mereka. Firman Allah:

Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?) (al-An’am [6:130].

Sudah dimaklumi semua bahawa para Rasul hanya diutus dari kalangan manusia, namun begitu rasul dari kalangan Jin dalam ayat ini dimaksudkan wakil kepada Rasul (yang sebenar) atau para pendakwah dari kalangan Jin yang mendengar bacaan al-Quran yang di baca oleh nabi Muhammad (Tafsir al-Razi). Kisah mereka direkodkan oleh al-Quran, Firman Allah:

Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyebarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran. Mereka berkata: "Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam). "Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. "Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapapun - yang lain dari Allah - sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata"
(al-Ahqaf [46:29-32]).



Sebuah hadith merekodkan baginda Rasulullah pernah memuji para sahabatnya dari golongan Jin yang begitu sensitive terhadap al-Quran. Baginda pernah membacakan surah al-Rahman dari awal sehingga akhirnya kepada para sahabat. Setelah selesai membaca baginda lalu bersabda: Mengapakah kamu semua (sahabatnya) hanya diam ? Sesungguhnya golongan Jin jauh lebih lebih baik reaksi (jawapan & penerimaan) mereka terhadap ayat ini (Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin? [53:13]-ayat ini berulang sebanyak 31 kali dalam surah al-Rahman). Setiap kali sampai kepada ayat in mereka akan segera menjawab: Tidak ada satupun antara ni’matMu wahai Tuhan kami yang kami dustai, maka bagiMu sahajalah segala pujian (Sunan al-Tirmidhi & Tafsir Ibn Kathir).

Selain itu, para ulama’ hadith seperti Imam Ibn Hajar al-Asqalani tidak ketinggalan menyenaraikan nama golongan awal Jin bersama nama para sahabat nabi yang lain. Antara nama mereka yang disebut adalah Zawba’ah, al-Arqam, al-Adras, Hasir, Khasir dan sebagainya (al-Isabah fi Ma’rifat al-Sahabah).

Mungkin segelintir pihak yang cuba mempertahankan kenyataan meragukan tersebut akan mengatakan bukti harian jelas menunjukkan Jin banyak melakukan kerosakan dan kebiadabannya terhadap manusia. Banyak sekali hasutan, rasukan berlaku yang memporak perandakan hidup manusia. Sebenarnya kejahatan serta kebiadaban tidak hanya berpunca daripada Jin, bahkan ia juga berpunca dari kejahatan manusia sebagaimana firman Allah:

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik" (al-Rum [30:41-42]).

Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga pihak yang galak menggunakan kenyataan tersebut perlu terlebih dahulu merujuk kepada sumber Islam bagi mengelakkan kejadian pukul borong sebegini berlaku. Al-Quran sebagai sebuah kitab suci yang maha sempurna menyarankan manusia agar berlaku adil dan tidak mengamalkan pukul borong sembrono dalam banyak ayatnya kerana syurga juga disediakan untuk Jin. Sekiranya sebaik-baik Jin adalah sejahat-jahat manusia, maka semua Jin Islam di dunia ini langsung tidak lagi berpeluang untuk ke syurga.

Keberkatan Dan Kelebihan Berselawat

1.   Para Malaikat berjanji,  sesiapa yang membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW setiap  
       hari sebanyak 10 kali:

1.      Jibril akan membimbing tangan bawa melintasi titian seperti kilat menyambar.
2.      Mikail akan memberi minum dari telaga Rasulullah SAW.
3.     Israfil akan sujud kepada Allah dan tidak akan mengangkat kepalanya sehingga Allah mengampuni  
       orang itu.
4.   Malaikat Izrail akan mencabut roh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti mencabut roh nabi-nabi bila mati kelak.
.
.
2.   Dalam beberapa hadis, sabda Rasulullah SAW:

a.  Sesiapa membaca selawat untukku sekali saja dengan tulus ikhlas dari hatinya, maka Allah akan 
      memberi 10 rahmat kepadanya serta diangkat ke 10 tingkat dan diampunkan 10 dosa.
b. Sesiapa berselawat 11 kali setiap lepas solat fardu, segala dosa kecilnya diampuni Allah serta tenteram  
     hati dan jiwanya.
c.  Sesiapa membaca selawat kepadaku 100 kali sehari, maka Allah akan menyampaikan100 hajatnya 
      iaitu 70 hajat akhirat dan 30  lagi hajat dunia.
d.  Sesiapa berselawat ke atasku pada Jumaat sebanyak 80 kali, diampunkan baginyadosa selama 
     80 tahun.

Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sesungguhnya antara hari kamu yang paling mulia adalah Jumaat, perbanyakkanlah amalan berselawat ke atasku kerana selawat kamu itu disampaikan terus kepada ku.”
.
.
3. Antara hadis-hadis lain yang menyatakan tentang kelebihan selawat ke atas Rasulullah 
     SAW ialah:

1.      “Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. “ (Riwayat Tabrani).
.
2.    “Sesiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.”  (Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim)
 .
3.     “Sesiapa yang membaca salawat untuk Ku satu kali, Allah bersalawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa bersalawat sepuluh kali kepada ku, Allah akan bersalawat kepadanya sebanyak seratus kali.  Dan sesiapa yang bersalawat kepada Ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari nifak dan kebebasan dari neraka.  Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid.” [Riwayat At-tabrani].
 .
4.  Sesiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku, maka aku mendengarnya, sesiapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib).
 .
5.   “Sesungguhnya orang yang dekat kepadaku daripada kalangan kamu pada hari kiamat pada setiap tempat aku berada ialah orang yang lebih banyak berselawat kepadaku di dunia.”

 Ayat Kursi paling agung dalam Al-Quran

FIRMAN Allah bermaksud: "Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Keupayaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya. Allah mengetahui apa yang di hadapan dan di belakang mereka dan mereka tidak mengetahui apa pun daripada ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara kedua-duanya dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar" (al-Baqarah: 255).

Ayat ini dikenali sebagai ayat Kursi, ayat yang paling agung dalam al-Quran, malah ia disebut sebagai penghulu bagi seluruh ayat al-Quran. Dari segi sejarahnya, ia diturunkan pada waktu malam. Pada ketika itu juga Nabi memanggil Zaid selaku penulis wahyu untuk menulisnya.

Dalam ayat yang pendek ini sebenarnya terkumpul sifat utama bagi Allah iaitu ketuhanan, keesaan, hidup, ilmu, memiliki kerajaan, kekuasaan dan kehendak.

Sesudah menegaskan mengenai keesaan-Nya, disusuli pula dengan menyebut dua sifat-Nya yang lain, iaitu hidup dan terus menerus mengurus makhluk-Nya.

Dengan demikian, manusia akan merasa aman dalam hidup serta tenang perasaannya kerana meyakini bahawa dia di dalam tangan Tuhan yang hidup, yang terus menerus mengurus serta mengawal jaga keadaan hamba-Nya.

Allah, Dia-lah Tuhan yang tunggal bagi segala makhluk. Oleh itu, tiada yang berhak disembah dalam kehidupan ini melainkan Dia. Segala apa yang ada di langit dan bumi adalah hamba dan milik-Nya. Semuanya tunduk di bawah kehendak dan kuasa-Nya, seperti firman Allah bermaksud: "Tidak seorang pun di langit dan bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba. Sesungguhnya Allah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti. Dan setiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri" (Maryam: 93-95).

Di antara tanda keagungan dan kebesaran Allah bahawa tiada seorang pun yang berani memberi pertolongan kepada seorang lain di sisi-Nya tanpa izin-Nya. Firman Allah bermaksud: "Ketika datang hari itu, tidak seorang pun berbicara, melainkan dengan izin-Nya; maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang berbahagia" (Hud: 105).

Ilmu Allah amat luas, meliputi segala makhluk ciptaan-Nya, baik yang dahulu, sekarang dan akan datang, bahkan Allah mengetahui segala urusan dunia dan akhirat. Allah juga amat luas kerajaan dan kekuasaan-Nya, langit dan bumi seluruhnya di dalam genggaman-Nya.

Itulah ayat yang mengandungi kaedah pembentukan keimanan terhadap Allah. Dari sinilah terbina hala tuju pengabdian seseorang hanya kepada Allah.

Dengan demikian, tidaklah seorang manusia melainkan menjadi hamba, hanya kepada Allah, tidaklah dia menjuruskan pengabdiannya melainkan kepada Allah dan tidaklah dia menyerahkan ketaatannya melainkan kepada Allah.

Selain itu, ayat ini mempunyai beberapa kelebihan yang tidak ada pada ayat lain. Daripada kedudukannya dalam al-Quran, sabda nabi ketika ditanya oleh Abu Zar: "Ayat manakah yang diturunkan kepadamu yang paling agung?" Jawab baginda: "Ia adalah ayat Kursi" (riwayat Imam Ahmad, al-Nasai, al-Hakim dan al-Baihaqi).

Daripada sudut keberkatannya di dunia, sabda Rasulullah: "Bacalah ayat Kursi kerana sesungguhnya ia mengawal jaga kamu, zuriat dan rumah tangga kamu sehingga bilik kecil di sekeliling rumahmu."

Dari segi keberkatannya dalam menghalau syaitan, sabda Rasulullah: "Di dalam surah al-Baqarah, ada satu ayat yang menjadi penghulu bagi ayat al-Quran, tidak dibacanya dalam rumah yang ada di dalamnya syaitan melainkan keluar ia daripadanya, itulah ayat Kursi" (riwayat al-Hakim).

Sabda Rasulullah: "Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas setiap solat fardu, Allah akan memberikannya hati orang yang bersyukur, amalan orang yang membenarkan Allah, pahala nabi-nabi, melimpahkan rahmat-Nya dan tidak menghalangnya daripada masuk syurga melainkan kematian yang akan memasukkannya" (riwayat al-Nasai).